Selasa, 31 Julai 2012

JANGAN GADAIKAN NEGARA KERANA TAKSUB DENGAN KUASA - samm penang


Itulah ungkapan yang boleh diberikan apabila Tema Lagu Merdeka pada tahun ini boleh dilabelkan sebagai Tema lagu Kemerdekaan yang paling terburuk dalam sejarah selepas Negara kita mencapai kemerdekaan hampir setengah abad. Tema lagu Merdeka ke-55 “Janji Ditepati” merupakan satu lagu propaganda Barisan Nasional yang terlalu taksub dengan kuasa sehingga sanggup mempolitikkan lagu patrotik untuk survival politik mereka. Saya tidak tahu sama ada pemimpin Barisan Nasional sensitive atau tidak memahami perbezaan antara konsep “Patriotisme” dan “Parti Politik”.

Setiap kali menjelang Bulan Kemerdekaan kita dapat melihat suasana di mana jalur gemilang akan bermegah di mana-mana sahaja. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan semangat Kemerdekaan akan dijalankan oleh pelbagai pihak sama ada Kerajaan, badan NGO atupun individu persendirian. Sambutan Hari Kemerdekaan juga akan dimeriahkan lagi dengan Tema lagu Merdeka yang akan mencuri tumpuan dan meniup semangat patriotisme setiap rakyat Malaysia. Tidak kira agama, bangsa dan ideologi politik semua rakyat Malaysia akan menghormati dan menghayati lagu kemerdekaan tersebut. Namun pada kali ini, perasaan sedih dan kecewaan tidak dapat dielakkan selepas mendengar lagu Merdeka pada tahun ini. Ianya amat mendukacitakan dan merupakan lagu Merdeka yang paling terburuk dalam sejarah dan juga menjadi bahan ketawa banyak pihak. Apakah Barisan Nasional berasa terlalu tertekan sehingga menyalahgunakan Tema Hari Kemerdekaan? Apakah pesanan dan semangat patriotisme yang ingin dibawakan melalui lagu Merdeka tersebut? Pelbagai persoalan seperti ini timbul di setiap jiwa rakyat Malaysia yang mahu melihat Bulan Kemerdekaan ini mampu membina kemajuan Tamadun Manusia dan bukan untuk mengekalkan kuasa politik sesebuah parti politik. Barisan Nasional dilihat seperti hilang hala tuju dan tertekan apabila baru-baru ini 2 Ahli Parlimen daripada Sabah mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai Pakatan Rakyat.

Ini adalah satu tamparan hebat kepada Barisan Nasional kerana selama ini mereka mendakwa Sabah merupakan “Fix Deposit” bagi mereka. Umum sudah menjangkakan, perubahan landskap politik bukan sahaja akan berlaku di Semanjung malah Sabah dan Sarawak juga akan mengalami “Tsunami Politik”. Rakyat mahukan perubahan dan perubahan tersebut adalah untuk kebaikan Rakyat dan Negara. Sudah 54 tahun rakyat merasai pemerintahan Barisan Nasional dan kini giliran untuk Pakatan Rakyat pula untuk membawa satu pentadbiran yang dapat memenuhi harapan dan menyediakan masa depan yang cerah untuk Rakyat. Pakatan Rakyat dilihat dapat membawa polisi-polisi yang menguntungkan kepada rakyat berbanding dengan Barisan Nasional yang suka memainkan politik lucah dan fitnah yang tiada kesudahannya. Tema lagu Kemerdekaan “Janji Ditepati” adalah merupakan suatu tema yang dibawa untuk memperpesongkan pemikiran rakyat terhadap isu-isu semasa seperti gejala rasuah, kroni, dan nepotisme yang berlaku di pentadbiran Barisan Nasional. Apakah yang dimaksudkan dengan Janji Ditepati apabila ramai lagi kaum India tidak mempunyai kad pengenalan Biru? Apakah yang dimaksudkan dengan Janji Ditepati apabila tanah rizab orang Melayu dijual sesuka hati? Apakah yang dimaksudkan dengan Janji Ditepati masalah pendidikan Sekolah Cina masih tidak ada jalan penyelesaian? Hanya kerana takut dengan kuasa “Rakyat” Barisan Nasional mempergunakan semua saluran survival mereka untuk terus berkuasa.

Fakta sebenar mengenai Sejarah Malaysia tidak diceritakan di mana kita hanya difahamkan seolah-olahnya hanya Parti Perikatan yang memperjuangkan Kemerdekaan untuk Malaya (ketika itu). Malah pejuang-pejuang Kemerdekaan seperti Abdullah CD, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestman, Ganapathy, Pak Sako sumbangan mereka tidak pernah dibukukan malah, sejarah mereka juga dikuburkan. Jangan lupa gerakan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pernah menghantar usul untuk memerdekakan Malaya daripada Jepun namun permohonan tersebut di tolak oleh pihak Jepun. Dr Burhanuddin adalah seorang pejuang kemerdekaan yang digeruni , beliau pernah ditangkap dan dipenjarakan oleh British pada tahun 1937 kerana menerbitkan majalah “ Taman Bahagia” iaitu sebuah majalah yang menyebarkan semangat kemerdekaan. Kemerdekaan Negara kita pada 31 Ogos 1957 tidak boleh terasing daripada sumbangan pelbagai kumpulan yang pernah terlibat dalam perjuangan anti penjajah sejak Perang Dunia ke-2. Sekiranya ada juga pihak yang ingin memangkah Barisan Nasional pada PRU 13 setelah mendengar lagu Merdeka pada kali ini, maka tidak tahulah saya dimanakah golongan ini perlu diletakkan.

Oleh:

KUMARESAN ARAMUGAM >>>KOMRADEE SAMM PENANG..


Selasa, 17 Julai 2012

PROGRAM DI BULAN RAMADHAN SAMM PENANG BERSAMA UNIT EHSAN & AMK BAYAN BARU..


Sempena dengan kedatangan Ramadan yang bakal menjelma ,Sekali lagi buat tahun yang keEMPAT berturut-turut Pertubuhan Unit Ehsan Pulau Pinang dengan kerjasama AMK Cabang Bayan Baru serta S.A.M.M Pulau Pinang akan menganjurkan program pengagihan bubur lambok kepada penduduk sekitar kawasan Bayan Baru.


Bagi menjayakan program ini kami ingin menjemput anda semua untuk sama-sama kita beramal di bulan yang mulia ini dengan menyumbangkan tenaga, barang mentah ataupun wang tunai bagi yang berkemampuan.

*Salurkan sumbangan anda terus ke akaun bank kami di AKAUN CIMB : 0718 0000 118100 atas nama Pertubuhan Unit Ehsan Pulau Pinang.

*SMSkan nama anda dan jumlah sumbangan ke no. telefon bimbit :
Sdr Aidil Fitri : 012 4304423 atau Sdr Amrin 017 5558204 atau Sdr Zulfazdli 012 5865611

1) Program Jelajah dan Penerangan-

Tarikh: 5 ogos 2012
Jam : 5 petang-
Lokasi: Pasar Ramadhan belakang Masjid Sg Nibong Besar.

2) Program pengagihan bubur lambok akan di adakan pada:

Tarikh: 12 Ogos / 23 Ramadhan 1433H ( Ahad )
Jam : Selepas Solat Asar
Tempat: Bersebelahan Masjid Bayan Baru

3) Kutipan sumbangan Majlis Tahlil & kenduri Arwah Noor Izzar@ Ijat Panjang(komrad samm penang) -untuk sumbangan boleh hubungi seperti tertera di atas:-

Tarikh: 24@25@26 Ogos 2012
Jam ; 12 tengah hari
Lokasi: Surau @ Rumah Arwah

SEMUA DI JEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

Siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa , pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya .”Berkata sahabat : Bagaimana jika kami tidak dapat memberi makan orang yang berpuasa ( berbuka puasa ) ya Rasulullah ? Nabi bersabda : “ Allah memberi pahala kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma , atau segelas air.

Moga dengan sumbangan anda akan diberi ganjaran yang sewajarnya dari Allah S.W.T

Rabu, 11 Julai 2012

Selamat menyambut ketibaan Bulan Ramadhan dari Samm Penang..

Asalamualaikum dan Salam sejahtera, semoga sahabat-sahabat, saudara-saudari, kenalan-kenalan semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan ceria selalu,

Dengan akan tibanya bulan Ramadhan Al-Mubarak bulan yang suci bagi umat islam saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menunaikan segala ibadah kepada semua umat islam dan non muslim ( tidak salah sekiranya ingin bersama menikmati bulan puasa bersama-sama umat islam)

Dengan tibanya bulan ramadhan diharap kita sama-sama dapat menghayati dan melalui segala cabaran dan dugaan di bulan ramadhan nanti, carilah sebanyak mungkin kebaikan dan pahala di bulan yang suci ini, elakkan seboleh-bolehnya pekara yang di benci Allah swt, jangan lupa juga dengan perjuangan kita selama ini amal makruf nahi mungkar,

Ingatlah bahawa kejahatan itu amat kuat pengaruhnya sehingga mampu membuatkan kita jauh terpesong dari landasan kebaikkan, jauhi segala maksiat, jauhi dari rasuah, jauhi dari fitnah, jauhi dari golongan zalim...

Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat menikmati ibadah puasa dan solat tarawikh...


Aidil Ibrahim

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang

SAMM Penang

Rabu, 4 Julai 2012

Kenyataan Terbuka 4 Julai 2012 RAPAT KEBANGSAAN (PENGURUSAN) SAMM 02/2012 29-30 JUN 2012 PENANTI, PULAU PINANG



Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengadakan Rapat Kebangsaan (Pengurusan) kedua tahun 2012 pada 29-30 Jun 2012 yang lalu bertempat di Yayasan Aman, Penanti Pulau Pinang. Rapat kebangsaan SAMM kali ini menghimpunkan semua Penyelaras SAMM Negeri dari seluruh negara selain Penyelaras SAMM Pusat yang telah berada di utara terlibat menjayakan program Merdeka Rakyat di Kulim.


Rapat Kebangsaan SAMM kali ini juga mendapat perhatian susuk Ketua Pembangkang Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir memberikan sedikit input penting dan bertukar pandangan untuk sama-sama menghadapi selekoh terakhir sebelum menawan Putrajaya. Tanpa dirancang Anwar Ibrahim yang kebetulan berada dikawasan sekitar hadir apabila mengetahui SAMM sedang mengadakan rapat ketika meluangkan masa menunjukkan ekspresi optimis betapa Pakatan Rakyat akan mampu menumbangkan Bn, namun tetap akur penipuan pilihanraya menjadi benteng paling kebal yang perlu ditembus.


Rapat Kebangsaan SAMM 02/2012 adalah merupakan rapat terpenting kerana ianya menjurus kepada penglibatan SAMM dalam memastikan hak demokrasi rakyat tidak dinafikan dalam pilihanraya akan datang. Kejayaan BERSIH 3.0 dari sudut mobilisasi dan kejayaan menyusun propaganda menjadi sandaran SAMM setelah melalui Rapat Kebangsaan pertama tahun ini pada Mac 2012. Oleh demikian, SAMM sekali lagi melalui Rapat Kebangsaan kedua 2012, mengorak langkah mencipta kejutan seterusnya berazam memastikan sejarah itu milik anak muda melalui strategi yang disusun lagi terancang - Rapat Kebangsaan 02/2012.

Melihat kepada sejarah peradaban negara, kita telah dijajah beratus-ratus tahun dan sehingga hari ini kemerdekaan sebenar masih dicari apabila legasi penjajah itu diteruskan sehingga undang-undang negara sendiri ditulis oleh penjajah sebagai contohnya, dan rakyat ditindas, kezaliman berterusan serta demokrasi hancur kerana legasi penjajah terus bertekad mengekalkan kuasa waima dengan penafian demokrasi dalam penipuan pilihanraya, termasuklah menggadai negara kepada warga asing demi mendapat undi kemenangan.

Seraya itu, Rapat Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia edisi kedua tahun 2012, telah menyusun beberapa gerakan persiapan serta memperkemas rangkaian anak muda di seluruh negara untuk bersekutu bersama dengan SAMM khususnya bagi menyekat penipuan yang dirancang regim pemerintah untuk kekal berkuasa. Beberapa bengkel penting telah dijadualkan untuk beberapa penggerak anak muda lain turut bersama berkoordinasi dengan gerakan terancang SAMM.


Rapat Kebangsaan kali ini juga tidak ketinggalan untuk beberapa program mendekati anak muda diatur di setiap negeri atas tanggungjawab SAMM Negeri. Hasilnya 10 program dekati anak muda dengan pelbagai pendekatan dan perencanaan telah berjaya diatur bersama perancangan yang teliti untuk diteruskan di peringkat pelaksanaan, dan SAMM juga sedia untuk menjayakan sebuah karnival raksasa bertemakan Kerjaya-Pendidikan-Usahawan yang menyasarkan kehadiran 50,000 anak muda dengan kerjasama sebuah kerajaan negeri.


Rapat Kebangsaan kali ini berakhir dengan kata putus yang membawa kepada terhasilnya Resolusi SAMM yang bukan sahaja mengejutkan Bn tetapi menjadi amaran keras buat agen-agen yang bersedia untuk menggadai negara dalam PRU akan datang, selain menjadi pedoman kepada gerakan anak muda SAMM dan sekutunya.

Rapat Kebangsaan kali ini berakhir dengan kata putus yang membawa kepada terhasilnya Resolusi SAMM tegas.

Rapat Kebangsaan SAMM 02/2012 telah mencapai 4 Resolusi SAMM, adalah seperti berikut;

1. SAMM menuntut Pengerusi SPR Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz dan timbalannya iaitu Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar agar segera meletakkan jawatan yang disandang dalam SPR, memandangkan adalah salah bagi penjawat utama SPR dilantik dari kalangan parti politik yang bertanding, sebagai Pengerusi SPR, kecuaian beliau tidak menyemak dan membatalkan keahlian parti politik adalah satu kesalahan besar melanggar peruntukan Perlembagaan.

2. SAMM dengan keras menolak secara total 'pengundian awal' yang menggantikan undi pos pada PRU-13 kerana yakin ia penipuan terancang yang lebih parah dari undi pos. Bilangan pengundi awam yang dialihkan sebagai pengundi awal (nama baru pengundi pos) amat tinggi dan membimbangkan.

3. SAMM komited untuk memastikan PRU hanya berlaku selepas senarai pengundi SPR dibersihkan termasuklah kes 42 ribu nama pengundi yang tiada dalam rekod JPN dan, 170ribu pengundi yang termasuk katogeri satu alamat lebih dari seratus nama pengundi. PRU sebelum pembersihan senarai pemilih adalah satu usaha menipu dan mencabul demokrasi negara.

4. Membenarkan warga asing menentukan halatuju negara adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan kerana ia seolah-olah membenarkan negara ini tergadai. Maka rakyat bersatu hati untuk menghalang campurtangan warga asing di hari pengundian dengan sekeras-keras tindakkan.

SAMM memberi amaran keras dan akan merancang tangkapan dan tindakan awam ke atas mana-mana warga asing serta agen tempatan yang membawanya jika didapati cuba untuk mengundi secara tidak sah. SAMM akan bersama sekutu anak muda untuk menyusun kekuatan yang cukup di seluruh negara untuk mengawal di kebanyakkan 'hotspot' pusat pengundi terpilih di majority kawasan parlimen seluruh negara.


Resolusi ini telah disepakati oleh 25 pengarah, penyelaras pusat dan negeri SAMM yang hadir mewakili perbagai segmentasi anak muda. SAMM mengadakan rapat (pengurusan) kebangsaan 3-5 bulan sekali bergantung kepada keperluan. Resolusi ini akan memberi pedoman kepada semua gerakan SAMM sehingga rapat (pengurusan) kebangsaan akan datang.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
http://www.anakmudamalaysia.com/

SORAK BOLA ANAK MUDA EURO'12 BERSAMA ADUN BATU MAUNG

Program ini anjuran Adun Batu Maung, Solidariti Anak Muda Malaysia (Penang) , AMK B.Baru, Jkkk Bukit Gedong....Terima Kasih kepada Adun Batu Maung YB Abdul Malik Kassim, Hj Rashid Hasnon,Ramlah Bee, ZulOnie, Aman Burger dan Jkkk Bukit Gedong yang membantu menjayakan program tersebut...program ini diadakan sempena kejohanan euro'12 di mana siaran langsung perlawanan akhir ditayangkan di skrin gergasi dan ia juga dapat mendekatkan anak muda dengan pemimpin kerajaan negeri...


YB Malik menyampaikan hadiah kepada pemenang








Hj Rashid membuat timbangan bola..