Selasa, 31 Julai 2012

JANGAN GADAIKAN NEGARA KERANA TAKSUB DENGAN KUASA - samm penang


Itulah ungkapan yang boleh diberikan apabila Tema Lagu Merdeka pada tahun ini boleh dilabelkan sebagai Tema lagu Kemerdekaan yang paling terburuk dalam sejarah selepas Negara kita mencapai kemerdekaan hampir setengah abad. Tema lagu Merdeka ke-55 “Janji Ditepati” merupakan satu lagu propaganda Barisan Nasional yang terlalu taksub dengan kuasa sehingga sanggup mempolitikkan lagu patrotik untuk survival politik mereka. Saya tidak tahu sama ada pemimpin Barisan Nasional sensitive atau tidak memahami perbezaan antara konsep “Patriotisme” dan “Parti Politik”.

Setiap kali menjelang Bulan Kemerdekaan kita dapat melihat suasana di mana jalur gemilang akan bermegah di mana-mana sahaja. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan semangat Kemerdekaan akan dijalankan oleh pelbagai pihak sama ada Kerajaan, badan NGO atupun individu persendirian. Sambutan Hari Kemerdekaan juga akan dimeriahkan lagi dengan Tema lagu Merdeka yang akan mencuri tumpuan dan meniup semangat patriotisme setiap rakyat Malaysia. Tidak kira agama, bangsa dan ideologi politik semua rakyat Malaysia akan menghormati dan menghayati lagu kemerdekaan tersebut. Namun pada kali ini, perasaan sedih dan kecewaan tidak dapat dielakkan selepas mendengar lagu Merdeka pada tahun ini. Ianya amat mendukacitakan dan merupakan lagu Merdeka yang paling terburuk dalam sejarah dan juga menjadi bahan ketawa banyak pihak. Apakah Barisan Nasional berasa terlalu tertekan sehingga menyalahgunakan Tema Hari Kemerdekaan? Apakah pesanan dan semangat patriotisme yang ingin dibawakan melalui lagu Merdeka tersebut? Pelbagai persoalan seperti ini timbul di setiap jiwa rakyat Malaysia yang mahu melihat Bulan Kemerdekaan ini mampu membina kemajuan Tamadun Manusia dan bukan untuk mengekalkan kuasa politik sesebuah parti politik. Barisan Nasional dilihat seperti hilang hala tuju dan tertekan apabila baru-baru ini 2 Ahli Parlimen daripada Sabah mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai Pakatan Rakyat.

Ini adalah satu tamparan hebat kepada Barisan Nasional kerana selama ini mereka mendakwa Sabah merupakan “Fix Deposit” bagi mereka. Umum sudah menjangkakan, perubahan landskap politik bukan sahaja akan berlaku di Semanjung malah Sabah dan Sarawak juga akan mengalami “Tsunami Politik”. Rakyat mahukan perubahan dan perubahan tersebut adalah untuk kebaikan Rakyat dan Negara. Sudah 54 tahun rakyat merasai pemerintahan Barisan Nasional dan kini giliran untuk Pakatan Rakyat pula untuk membawa satu pentadbiran yang dapat memenuhi harapan dan menyediakan masa depan yang cerah untuk Rakyat. Pakatan Rakyat dilihat dapat membawa polisi-polisi yang menguntungkan kepada rakyat berbanding dengan Barisan Nasional yang suka memainkan politik lucah dan fitnah yang tiada kesudahannya. Tema lagu Kemerdekaan “Janji Ditepati” adalah merupakan suatu tema yang dibawa untuk memperpesongkan pemikiran rakyat terhadap isu-isu semasa seperti gejala rasuah, kroni, dan nepotisme yang berlaku di pentadbiran Barisan Nasional. Apakah yang dimaksudkan dengan Janji Ditepati apabila ramai lagi kaum India tidak mempunyai kad pengenalan Biru? Apakah yang dimaksudkan dengan Janji Ditepati apabila tanah rizab orang Melayu dijual sesuka hati? Apakah yang dimaksudkan dengan Janji Ditepati masalah pendidikan Sekolah Cina masih tidak ada jalan penyelesaian? Hanya kerana takut dengan kuasa “Rakyat” Barisan Nasional mempergunakan semua saluran survival mereka untuk terus berkuasa.

Fakta sebenar mengenai Sejarah Malaysia tidak diceritakan di mana kita hanya difahamkan seolah-olahnya hanya Parti Perikatan yang memperjuangkan Kemerdekaan untuk Malaya (ketika itu). Malah pejuang-pejuang Kemerdekaan seperti Abdullah CD, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestman, Ganapathy, Pak Sako sumbangan mereka tidak pernah dibukukan malah, sejarah mereka juga dikuburkan. Jangan lupa gerakan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pernah menghantar usul untuk memerdekakan Malaya daripada Jepun namun permohonan tersebut di tolak oleh pihak Jepun. Dr Burhanuddin adalah seorang pejuang kemerdekaan yang digeruni , beliau pernah ditangkap dan dipenjarakan oleh British pada tahun 1937 kerana menerbitkan majalah “ Taman Bahagia” iaitu sebuah majalah yang menyebarkan semangat kemerdekaan. Kemerdekaan Negara kita pada 31 Ogos 1957 tidak boleh terasing daripada sumbangan pelbagai kumpulan yang pernah terlibat dalam perjuangan anti penjajah sejak Perang Dunia ke-2. Sekiranya ada juga pihak yang ingin memangkah Barisan Nasional pada PRU 13 setelah mendengar lagu Merdeka pada kali ini, maka tidak tahulah saya dimanakah golongan ini perlu diletakkan.

Oleh:

KUMARESAN ARAMUGAM >>>KOMRADEE SAMM PENANG..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan