Isnin, 3 Jun 2013

                                                              Kumaresan Arumugam
                           Setiausaha Persatuan Progesif India Malaysia, Negeri Pulau Pinang
                                      Ahli Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang

Jangan Pandang Ringan Kes Kematian Dalam Tahanan Polis
Persatuan Progesif India Malaysia Negeri Pulau Pinang (MIPAS) menggesa Kerajaan untuk tidak melambatkan  lagi proses untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan & Salah Laku Polis (IPCMC) untuk memberikan penyelesaian terhadap kes kematian dalam lokap Polis.  Menurut setiausahanya, Kumaresan Arumugam kerajaan seharusnya mendengar pandangan  Rakyat Malaysia untuk segerakan penubuhan IPCMC untuk menyelamatkan keadaan dan kebaikan semua demi menegakkan keadilan dan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau berkata demikian apabila terdapat satu lagi kes kematian dalam lokap Polis , P. Karuna. Menurutnya lagi, penubuhan IPCMC tersebut juga perlu terdiri daripada mereka yang bebas daripada sebarang  pengaruh dan kepentingan politik bagi mengelakkan penglibatan kuasa politik dalam siasatan IPCMC ini kelak. Beliau berkata penubuhan IPCMC perlu disegerakan untuk menamatkan titik hitam  kes kematian dalam lokap Polis. Belum tamat lagi kes penyiasatan terhadap Dharmendran dan R. Jamesh Ramesh terdapat pula individu ketiga P. Karuna seorang bekas Jurutera  mati  dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu. Hal ini amat membimbangkan dan hasil maklum balas daripada orang ramai masing-masing merasakan kebimbangan mereka terhadap isu ini dilihat seperti ketiadaaan kesudahan dan orang ramai juga berpendapat lokap Polis di Malaysia tidak lagi selamat dan ada juga berpendapat PDRM mengambil alih tugas Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman kepada seseorang tersebut. PDRM juga dilihat tidak serius untuk membendung isu ini kerana hasil ‘post –mortem’ terhadap kematian Dharmendran jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur jenayah yang dilakukan oleh pihak Polis ketika di tahanan, namun sehingga hari ini  hanya tindakan tatatertib yang diambil terhadap anggota Polis yang terlibat iaitu  ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur buat sementara waktu. MIPAS membantah tindakan yang dikenakan kepada anggota Polis yang terlibat,  sebaliknya siasatan kes Kanun Keseksaan 302 perlu dibuka terhadap anggota yang terlibat. Menurutnya lagi, MIPAS Pulau Pinang dalam masa terdekat ini akan menyerahkan memorendum kepada Ketua Polis Pulau Pinang untuk menyuarakan bantahan NGO tersebut terhadap kes kematian dalam lokap Polis. Pihaknya juga menyeru agar kerajaan  dapat menjalankan siasatan dan mendapatkan keadilan untuk  mendiang P. Karuna.


Kumaresan Arumugam
Setiausaha Persatuan Progesif India Malaysia, Negeri Pulau Pinang
Ahli Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang


Tiada ulasan:

Catat Ulasan