Selasa, 20 Ogos 2013

PTPTN: KERAJAAN LEBIH TERUK DARIPADA ALONG


Begitulah luahan Setiausaha Persatuan Progresif India Malaysia Negeri Pulau Pinang (MIPAS), Kumaresan Aramugam. Menurut beliau langkah Kerajaan untuk  melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar untuk membayar balik pinjaman adalah lebih teruk daripada Along yang mengutip pinjaman.  Melalui CCRIS kerajaan akan berkerjasama dengan Bank Negara untuk mempengaruhi kelulusan permohonan peminjam PTPTN daripada institusi kewangan . Mereka yang ingkar untuk membayar balik pinjaman PTPTN akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan yang lain terutamnya apabila membabitkan kelulusan permohonan pinjaman , kad kredit, dan sebagainya.  Maknanya bank akan menilai setiap rekod pembayaran sebelum memberi mereka pinjaman. Menurut Kumaresan, hal ini akan merunsingkan lagi peminjam PTPTN ketika mereka membuat permohonan pinjaman di institusi kewangan atau bank. Menurutnya lagi, Kerajaan sepatutnya menggunakan kaedah yang lebih mesra untuk mengutip semula pinjaman PTPTN dan bukannya dengan cara kasar dan  membebankan seperti ini. Buat masa ini, ramai dalam kalangan graduan yang baru habis belajar memperolehi pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000.00 dan mereka juga mempunyai perbelanjaan lain seperti tanggungan keluarga, pembayaran ansuran kereta, sewa rumah dan sebagainya. Beliau juga berkata, dengan kadar inflasi Negara yang tidak menentu harga barangan harian juga semakin mahal dan sekiranya Kerajaan menekan peminjam PTPTN untuk membayar balik pinjaman tanpa sebarang mekanisma yang mesra maka ianya  juga sama seperti Along yang mengutip semula hutang mereka.

Oleh,
Kumaresan Aramugam
Setiausaha
Persatuan Progresif India Malaysia

Negeri Pulau Pinang (MIPAS)

Komrad Samm Penang (Zon Barat Daya)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan